Rabu, 10 Oktober 2012


KHASIAT BUAH BETIK



Siapa tidak kenal buah betik, namun khasiatnya yang ajaib terutama untuk kaum hawa tidak begitu diketahui orang. Betik dipercayai berasal dari kawasan tropika benua Amerika. Orang-orang Sepanyol telah membawa spesies betik ke Filipina dan kemudian dibawa ke Malaysia. Kini betik banyak ditanam di negara tropika dan subtropika.
Di Malaysia, betik banyak ditanam di persekitaran rumah dan juga sebagai tanaman komersial. Varieti betik yang biasa ditanam ialah Batu Arang, Sitiawan, Subang 6 dan Eksotika. Betik banyak didapati di Johor, di sekitar daerah Larut Matang, Perak dan beberapa kawasan di Selangor dan Pahang.
Buah betik mengandungi pelbagai khasiat pemakanan. Bagi setiap 100g betik , ia mengandungi :
  • 59.0 kalori untuk pembekalan tenaga,
  • 92.1g air,
  • 1.0g protein,
  • 0.1g lemak,
  • 13.5g karbohidrat,
  • 0.5g serat,
  • 0.5g abu,
  • 31.0mg kalsium
  • 0.8mg magnesium
  • 17.0mg posporus
  • 1.0mg zat besi
  • 2.0mg sodium
  • 337.0mg potasium
  • vitamin B sebanyak 0.08mg,
  • vitamin B2 (0.12mg)
  • niasin (0.1mg
  • vitamin C (69.3mg)
  • karotin (2431ug)
Khasiat betik
Buah betik mempunyai kelebihan dari segi perubatan sejak zaman kuno lagi. Bukan sahaja merupakan buah yang mudah untuk dihadamkan tetapi ia juga membantu dalam proses pencernaan. Buah betik masak juga dikatakan mampu bertindak sebagai tonik yang baik bagi pembesaran kanak-kanak, untuk wanita hamil dan juga ibu yang menyusui bayi mereka. Di Ghana ia juga digunakan untuk mengubati ketumbuhan manakala pucuknya boleh mengubati penyakit tekanan darah tinggi.
Mencegah penyakit kandung hempedu 
Selain mengandungi vitamin C yang tinggi, iaitu dua kali ganda kandungan vitamin C di dalam buah limau, betik juga boleh mencegah penyakit yang mendera kandung hempedu. Ini merupakan hasil kajian pakar pemakanan dari University of California, San Francisco terhadap lebih daripada 13 ribu orang. Setelah menganalisis kadar darah sukarelawan, para pengkaji  mendapati bahawa mereka yang mempunyai kadar vitamin  C yang rendah, akan mengalami  risiko menderita penyakit kandung hempedu yang tinggi. Walaupun sumber vitamin C boleh didapati daripada pelbagai jenis buah dan sayuran, tetapi sebiji buah betik dalam ukuran sederhana (±280 gram) mengandungi  88 mg vitamin C dan 500 kj kalori. Ini ialah jumlah yang amat besar. Penyakit kandung hempedu lebih banyak menyerang wanita berbanding lelaki, oleh itu amalan makan betik amat baik untuk kaum wanita.
Mengurangkan keradangan
Betik mempunyai beberapa enzim protein pencernaan unik termasuklah papain dan chymopapain. Dipercayai enzim ini mampu membantu mengurangkan keradangan dan dapat merangsang penyembuhan akibat kesan terbakar. Sebagai tambahan, khasiat antioksida di dalam betik termasuklah vitamin C, E dan beta karotena juga amat baik dalam mengurangkan keradangan. Papain di dalam betik muda juga dikatakan amat berguna dalam masalah kekurangan jus gastric, mucus tidak elok yang berlebihan di dalam perut, dyspepsia dan keradangan usus. Buah yang masak pula jika dimakan selalu, mampu mengurangkan masalah sembelit, hemoroid atau buasir, najis yang berdarah dan kronik. Jus yang dihasilkan daripada biji betik juga dikatakan berguna dalam merawat dyspepsia dan najis berdarah.
Membantu peredaran haid yang teratur
Buah yang belum masak dikatakan elok dimakan oleh wanita yang mengalami masalah haid yang tidak teratur. Ia juga mampu mengecutkan struktur otot rahim dan sekaligus memastikan peredaran haid yang teratur.
Merawat sirosis hati
Biji betik pula dikatakan amat bernilai tinggi dalam merawat sirosis hati yang disebabkan oleh alkoholisme, kekurangan zat dan pelbagai sebab lain. Satu sudu jus biji betik yang dikisar dan dicampurkan dengan 10 titis jus limau dikatakan boleh diambil sekali atau dua kali sehari selama kira-kira sebulan sebagai ubat bagi penyakit ini.
Merawat penyakit tekak
Jus betik yang dicampurkan dengan madu pula dikatakan boleh digunakan dalam merawat tonsil yang kemerahan akibat difteria dan penyakit tekak yang lain. Ramuan ini dikatakan mampu mencairkan membran dan menghalang jangkitan daripada merebak.
Penawar masalah limpa
Buah betik masak pula dikatakan amat berguna dalam merawat masalah limpa yang mengalami pembesaran. Buah yang telah dibuang kulit dipotong dan direndam di dalam cuka selama seminggu. Kira-kira 20 g betik yang telah dijeruk ini, boleh diambil dua kali sehari bagi merawat masalah ini. Hirisan buah betik yang telah dicampurkan dengan biji jintan putih dan lada hitam pula dikatakan elok dimakan sekali sehari untuk merawat pembesaran limpa yang disebabkan penyakit malaria.
Merawat tumit pecah
Betik juga boleh digunakan untuk mengubati tumit pecah-pecah yang boleh  menyebabkan kaki terasa sakit. Satu daripada rawatan tradisonal bagi mengubati masalah ini adalah dengan menggunakan buah betik muda yang dibelah dua kemudian diambil getahnya dan sapu di bahagian tumit yang pecah. Namun begitu elakkan daripada terkena mata kerana getah muda ini akan mengakibatkan mata gatal dan bengkak seperti digigit serangga.
Nilai pemakanan
Kandungan zat makanan yang terdapat di dalam 100g betik ialah tenaga (59 kal), lembapan (84.4%), protein ( 1 g), karbohidrat (13.5 g), serat (0.5 g), kalsium (31 mg), magnesium (0.8 mg), fosforus 917 mg), besi (1mg), sodium (2mg), potassium (337 mg), vitamin B1 (0.08 mg), vitamin B2 (0.12 mg), niasin (0.1 mg), asid askorbik/vitamin C (69.3 mg), karotena (2431 µg).
Oleh: Suhana Omar
Pusat Penyelidikan Hortikultur
MARDI, Serdang
Sumber: Majalah Agromedia Bil 24.(ISSN: 1511-094X)

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan